Oleh : Khartini Hamir / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas, Dk. Nurhafilah Pg. Osman
TUTONG, Isnin, 9 Mac. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pagi tadi berkenan berangkat ke Daerah Tutong bagi menyempurnakan Majlis Penyampaian Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada Golongan-golongan Tertentu khusus bagi Rakyat dan Penduduk Tetap Negara Brunei Darussalam yang Berugama Islam sempena Hari Raya Aidilfitri 1447 Hijrah / 2026 Masihi.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ke Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad.
Majlis terdahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Arif Dato Seri Setia Awang Haji Johar bin Haji Muhammad.
Di majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyampaikan Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada seramai 1,000 orang penerima dari daerah berkenaan.
Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ini merupakan kali ke-17 ia diadakan bertujuan bagi membantu meringankan bebanan golongan-golongan tertentu khususnya dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.
Dalam temu bual Pelita Brunei bersama beberapa penerima rata-rata merafakkan dan melahirkan rasa syukur dan terima kasih yang tidak terhingga Kehadapan Majlis Kebawah DYMM atas kurnia peribadi baginda ini dan secara berterusan memeduli hal ehwal rakyat dengan tulus dan ikhlas.
Awang Haji Emran bin Haji Abdullah, 54 tahun, yang berasal dari Kampung Kiudang adalah merupakan penerima dari golongan Orang Berkeperluan Khas (OBK), beliau melahirkan rasa syukur di atas kurnia peribadi ini yang sangat membantu bagi mereka yang kurang berkemampuan dan dapat meringankan beban beliau dan keluarga dalam menampung perbelanjaan keperluan harian.
“Saya sangat-sangat menjunjung kasih dan merafakkan rasa syukur Kehadapan Majlis Kebawah DYMM di atas pemberian kurnia peribadi baginda ini, selain dapat membantu meringankan bebanan golongan-golongan yang memerlukan, baginda juga merupakan seorang raja yang sangat prihatin dan berjiwa rakyat yang banyak menyalurkan kemudahan-kemudahan kebajikan seperti dari Jabatan Pembangunan Masyarakat, bantuan sara hidup, bantuan kebajikan serta beberapa bantuan lain yang disalurkan oleh kerajaan baginda," ujar Awang Haji Emran.
Beliau turut mendoakan kesejahteraan Kebawah DYMM semoga dilanjutkan usia, sihat walafiat di dalam lindungan Allah Subhanahu Wata'ala dan kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam.
Sementara Dayang Hajah Petimah binti Haji Saidi@Saideh, 77 tahun, salah seorang penerima dari golongan warga emas menzahirkan rasa syukur di atas pengurniaan Kurnia Peribadi Kebawah DYMM ini yang dapat membantu dalam perbelanjaan menyambut Hari Raya yang bakal menjelang tiba.
Manakala salah seorang penerima dari golongan anak yatim, Dayang Nur Syafiqah Bazilah binti Herdy Marwadi, 15 tahun, melahirkan rasa syukur di atas Kurnia Peribadi Kebawah DYMM ini, di mana beliau merupakan pertama kali menerima kurnia ini dan berhasrat akan berkongsi kegembiraan ini bersama kalangan ahli keluarga beliau nanti lebih-lebih lagi menyediakan persiapan menjelangnya Hari Raya Aidilfitri.
Beliau turut merafakkan rasa syukur dan memuji sifat pemedulian dalam kepimpinan baginda yang berjiwa rakyat, sentiasa kasih dan memeduli kebajikan rakyat tanpa mengira golongan dan lapisan masyarakat di negara ini.
Melalui pengurniaan ini jelas memperlihatkan keprihatinan Kebawah DYMM yang berterusan dalam memeduli kesejahteraan dan hal ehwal golongan-golongan tertentu di negara ini, lebih-lebih lagi dalam beberapa hari sahaja lagi negara akan menyambut dan meraikan Hari Raya Aidilfitri.
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
